Semalam, kelas yang kedua, siri dua Daurah Kitab Risalah An-Nur. Sambungan kalimah yang minggu lepas, tetapi minggu ini berkisar pasal 'Fitrah Insan'. Tajuknya ialah Ubudiyyah tugas Fitrah Insan.
Dalam kehidupan manusia itu sendiri sebenarnya kita ada persoalan fitrah;
Ustaz ada nukilkan 4 persoalan fitrah :
1. Siapa aku?
2. Dari mana aku datang?
3. Ke mana aku?
4. Siapa yang bawa aku ke sini?
Dari keempat-empat soalan ini sebenarnya adalah fitrah kepada setiap manusia bagi manusia yang berakal. Tidak kira muslim atau tidak muslim. Tuhan menciptakan satu naluri fitrah untuk manusia berfikir.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, manusia itu diberikan syariat tetapi boleh memilih. Tidak seperti makhluk-makhluk yang lain. Misalnya, lebah menghasilkan madu, lembu menghasilkan tenusu dan daging. Manusia tidak, sebab kita diberikan pilihan untuk memilih dan tidak mempunyai peranan yang khusus sepertimana makhluk lain.
Said Nursi memberikan dua sifat manusia yang paling utama dalam menentukan persoalan siapakah aku sebagai manusia? Mahiyatul Insan?
Manusia itu perlu memperhalusi dua sifat ini :
a) Faqir
Manusia adalah satu makhluk yang sangat miskin. Lagi miskin daripada makhluk-makhluk yang lain. Analogi mudah, manusia tidak menghasilkan produk sendiri, kita hanya mengambil produk makhluk lain dan menjadikan ia sebagai 'produk' kita.
Misalnya, madu. Yang menghasilkan madu itu ialah kelulut, lebah dan sebagainya. Kita ambil produk madu itu dan kita re-brand menjadi produk kita seperti madu pak Abu.
Kita juga miskin kerana kita adalah makhluk yang keperluannya sangat besar. Makhluk lain tidak. Hanya keperluan yang khusus. Manusia itu memerlukan rumah, makanan, kereta, motor, bag dan sebagainya. Makhluk lain tidak. Belum lagi dicirikan makanan apa yang kita perlukan, nasi goreng (dr bagi nasi goreng semalam, hahahaha), nasi lemak, western food dan sebagainya. Baru 0.001 peratus keperluan dan kehendak kita. Kita cari misalan haiwan; adakah lembu memerlukan makanan sebegitu? Hanya perlukan rumput.
Manusia ini mempunyai sifat raqabat; keinginan untuk memenuhi keperluan sendiri tetapi tidak mampu.
b) A'jiz (Kelemahan)
Manusia juga adalah makhluk yang sangat lemah.
Kenapa kita lemah?
Sebab kita banyak sangat musuh dalam hidup.
Daripada sekecil-kecil musuh sampai sebesarnya.
Dari sekecil-kecil virus yang kita tidak nampak, nyamuk, panas, sejuk, kotor. Semua musuh kita.
Sebab kita juga banyak kerisauan.
Walaupun, kita rasa kita bahagia, kita ada rasa kerisauan yang fitrah. Kita rasa risau.
Misalnya, akan sampai satu saat, kita risau dengan kehilangan orang yang sekeliling. Kita berfikir akan kerisauan itu. Manusia ini lemah jika dibandingkan dengan haiwan. Haiwan yang anaknya mati; hanya meroyan sehari. Selepas itu, tiada. Berbanding dengan manusia yang memandang ia sebagai satu kerisauan.
Dalam memperhalusi dua sifat ini, manusia akan jumpa persoalan siapa aku sebagai manusia?
Memahami diri dan peranan kita sebagai manusia yang mempunyai tugasnya sendiri.
Siapakah yang akan menyelamatkan aku apabila berada dalam dilemma?
Inilah konsep 'beribadah kepadaku';
a) Ibadah secara paksa
Tunduk kepada undang-undang Allah S.W.T tanpa disedari dan ia berlaku kepada semua.
Misalnya, oksigen. Kita menggunakan oksigen untuk bernafas. Kita tidak boleh menggunakan selain daripada oksigen untuk bernafas. Begitu juga dengan putaran galaksi, tidak boleh bertukar undang-undang.
Walaupun begitu, manusia ini diberikan syariat tetapi diberikan juga ujian untuk memilih, sama ada manusia itu mahu tunduk atau tidak kepada Tuhan?
b) Merendahkan diri kepada Allah S.W.T.
Persoalan penting dalam diri "Adakah benar-benar aku ini adalah ubudiyah?"
Kemuncak kepada pengabdian diri kita adalah menundukkan dan merendahkan diri kepada Allah Taala.
Apakah maksud tunduk dan merendahkan diri - konsep ubuddiyah?
Ustaz memberikan analogi; apabila kita mengharapkan pada sesuatu atau cinta kepada kepada sesuatu, akan lahir sifat ubuddiyah.
Menjadi fitrah manusia untuk tunduk dan patuh kepada sesuatu yang dia harap dan cinta.
Bagaimana mahu seperi ini ?
Konsep kenal. Kalau kita tidak kenal, mana mungkin lahir rasa hub ( cinta ) ini.
Macam itu juga dengan konsep Tuhan; kalau kita tidak kenal Tuhan, bagaimana kita mahu mencintai Tuhan dan lahir rasa merendahkan diri kepadanya.
Cinta manusia kepada manusia yang lain hanyalah nisbah atau gambaran supaya kita cari Allah di penghujungnya. Kalau kita suka kepada seseorang, kita akan melakukan apa sahaja untuk mencari keredhaan dia. Ini nisbah bagaimana Allah mahukan kita lihat konsep ini ke atas Dia.
Pencetus cinta dan rasa kagum hingga melahirkan rasa ubuddiyah
Ia berada pada tiga perkara :
a) Al-jamal (kecantikan)
Ini adalah proses pertama dalam mencetuskan rasa cinta dan kagum. Kalau kita tidak kenal Tuhan kita, bagaimana kita mahu tahu Allah itu Maha Cantik? Allah itu kecantikan yang mutlak, Tiada menyerupai mana-mana makhlukNya. Macam cakap kat atas, Allah menciptakan sesuatu di dunia atas nisbah kepada Nya. Macam kita jatuh cinta, kita akan lihat kecantikan. Allah berikan sedikit rasa kecantikan melalui penglihatan kita untuk memahami sedikit kecantikan Allah.
Terbit rasa Allah itu Maha Cantik bila kita kenal Tuhan kita.
b) Al-Kamal (kesempurnaan)
Bila kita sudah mencapai tahap pertama, kita lihat kesempurnaan. Kita rasa kesempurnaan. Kita akan beralih kepada tingkat yang terakhir atau yang paling tinggi.
c) Ihsan
Allah S.W.T menisbahkan ihsan ini kepada banyak perkara. Misalnya, kasih sayang seorang ibu. Kasih sayang seorang ibu itu adalah rahmat dan kasih sayang Tuhan kepada wanita. Allah bagi naluri kasih sayang. Tetapi, kasih sayang Allah kepada makhlukNya itu lagi besar daripada kasih sayang yang dinisbahkan kepada makhlukNya.