Buat yang tidak tahu hal filem ini, boleh tengok kat youtube. Seperti selalunya, filem daripada Indonesia sebenarnya lebih menarik minat aku berbanding di Malaysia yang kebanyakannya hanya berkisar kepada persoalan yang sama. Walaupun ada filem-filem yang berbentuk pendidikan, masih lagi tidak menjadi budaya dan tidak 'mainstream'. Mungkin juga berfaktorkan kepada keuntungan syarikat ataupun kehendak masyarakat kita sendiri yang mahukan filem yang sebegitu. Aku rasa makin bercambah drama di layar televisyen yang mempunyai jalan cerita yang sama. Jujur, aku katakan. Bosan! Walaupun, Indonesi mempunyai filem-filem sinetron yang jalan ceritanya agak sama, bagi aku mereka masih lagi mampu untuk menghasilkan filem-filem yang berkualiti tinggi dari segi pengisian seperti 99 cahaya di langit Eropah, Alangkah Lucunya Negeri Ini, Gie, Laskar dan sebagainya.
Berbalik kepada filem alangkah lucunya negeriku ini, ia berkisahkan mengenai seorang graduan Pengurusan (management) yang tidak mempunyai pekerjaan. Namanya Muluk. Muluk telah berjumpa dengan seorang budak yang kerjanya penyeluk saku. Bermula dengan peristiwa ini, Muluk telah menggunakan ilmu aplikasi daripada yang dia pelajari untuk membantu anak-anak penyeluk saku ini ke arah yang lebih baik.
Apa yang aku rasa daripada perbincangan tadi ialah pendidikan. Bagaimana pendidikan itu berfungsi dalam kehidupan manusia? Adakah ianya sebagai 'a priori knowledge'? Epistimologi semata-mata? Mungkin. Segalanya mungkin. Bergantung kepada penafsiran masing-masing. Apakah pendidikan itu hanya sekadar dijustifikasikan oleh konsep umur 5 tahun ke tadika, naik darjah, naik tingkatan dan naik kuliah. Hasilnya, bekerja. Lalu, apa sebenarnya matlamat pendidikan ini?
Dalam cerita ini, Muluk dan kawan-kawannya yang bertindak sebagai karakter utama telah bertindak memberikan pendidikan kepada anak-anak penyeluk saku; daripada mandi, kira-kira, agama sampai boleh bersolat, membaca, pancasila dan menyanyi lagu Indonesia Raya. `Selepas itu, ilmu pengurusan : cara menyeluk saku sistematik, kewangan dan akhir sekali memberikan modal untuk menjadi 'pengasong'.
Di akhir cerita, ayah Muluk dan Pipit mengetahui bahawa mereka telah digajikan melalui 'wang haram' hasil seluk saku. Akhirnya, menjadikan Muluk dan Pipit merasakan bahawa mereka juga perlu meninggalkan aktiviti memberi pendidikan kepada anak-anak penyeluk saku atas dasar menghormati ayah mereka dan syariat agama. Sebelum meninggalkan tempat itu, Muluk telah memberikan pilihan kepada anak-anak penyeluk saku untuk memilih menjadi pengasong atau penyeluk saku.
Akhirnya, mereka terpecah kepada dua. Ada yang masih memilih untuk menjadi penyeluk saku walaupun mengetahui bahawa ianya salah dan tidak mampu untuk mengubah apa-apa. Harapan mereka hanyalah 'penjara'. Berbanding dengan menjadi pengasong. Hal ini perlu menjadi refleksi untuk diri aku juga. Bagaimana sebuah pendidikan itu memberikan satu pendidikan 'fizikal' dan 'spiritual'. Kalaulah ada kedua-dua ini, mana mungkin manusia yang berpendidikan paling tinggi di dunia sekalipun melakukan korupsi dalam pekerjaan. Tiadalah korupsi dalam kalangan golongan yang berpendidikan?. Masalahnya adalah berbeza. Kenapa masih ada lagi golongan yang berpendidikan masih lagi tidak menjadi manusia yang terdidik. Lalu, aku menyimpulkan bahawasanya pendidikan itu adalah proses untuk menjadi manusia itu seorang 'manusia'. Bilamana dia bergelar manusia seiring ilmu yang dia miliki, dia tidak akan melakukan apa-apa yang tidak seharusnya manusia lakukan.
"How education can educate people"
Bagi aku, terpulang kepada masing-masing. Sama kau mahu menjadi pendidikan itu sebagai satu terma untuk kau menjadi orang yang berpendidikan ataupun seorang manusia.
No comments:
Post a Comment